PERMAISURI JOHOR KURNIA BANTUAN KEPADA 200 KELUARGA PPR SRI STULANG DAN PPR ISKANDAR
Keprihatinan DYMM Permaisuri Johor kepada rakyat semenjak COVID-19 melanda negara sentiasa berterusan bagi meringankan beban rakyat.
Pada hari ini (8 September), seramai 200 keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang dan PPR Iskandar menerima bantuan keperluan makanan dan bantuan peribadi daripada Baginda Tuanku Permaisuri.
Bantuan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) disampaikan oleh Pengurus Kanan Peraihan Dana YRZSNJ, Rohazam Shah Ahmad kepada penerima di Surau Nurul Falah, Sri Stulang Johor Bahru.
Warga emas, Junaidah Umarem, 62, bersyukur di atas kurniaan yang diterima.
Dia sebelum ini hanya mengharapkan bantuan daripada tiga orang anaknya yang turut terkesan selepas hilang pekerjaan akibat COVID-19.
“Menjunjung kasih kepada DYMM Permaisuri Johor di atas bantuan yang amat besar nilainya pada saya” katanya kepada Royal Press Office (RPO) ketika ditemui.
Kurniaan bantuan disampaikan dengan kerjasama penduduk setempat dan sukarelawan.